Saturday, November 24, 2012

HAK ISTERI SELEPAS BERCERAI

PANDUAN DARI JABATAN AGAMA ISLAM MALAYSIA

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :

'Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal
menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk
menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah
ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya
hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu
untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah
antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui
kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya'.
( Surah at-Talak : 6 )

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas
diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah
kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi
juga selepas bercerai dengan isteri.

Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai

Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa
tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan
itu ialah :

i. Tuntuan Mutaah

Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas
isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca
dari isteri dan bukan kematian suami. Dalam Al-Quran terdapat beberapa
ayat mengenai Mutaah:
' Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh
suaminya) Mutaah menurut yang ma'aruf sebagai suatu kewajiban bagi
orang-orang yang bertaqwa'.
(Surah Al-Baqarah : 241)

Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
'Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu
sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas
kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah
(pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut
kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai
pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas
orang-orang yang mahu berbuat kebajikan'.
(Surah Al-Baqarah : 236)

Firman Allah swt :
'Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan
perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum
menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai
sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah
Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan
cara yang sebaik-baiknya'.
(Surah Al-Ahzab : 49)

Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang
sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan
kadar mengenai Mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada
keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika
kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah
akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.

Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.)
Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin
Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah
menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam
iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan.
Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah
Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya
menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.

Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu
mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana
perceraian itu atas kehendak suami.

Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:

Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu
apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah
menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan memulakan hidup baru
selepas bercerai.

Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada
kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita
yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu
pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas
isteri.

Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai
penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang
diberikan oleh isteri.

Talak Dalam Islam

TALAK DALAM ISLAM

Adapun secara umumnya maksud Talak itu cerai atau pisah, iaitu
memutuskan ikatan perkahwinan dengan lafaz yang tertentu.

Talak pada syarak mengikut Fuqaha' Shafi'e yakni Melepaskan ikatan
perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau sebagainya. Mengikut
Fuqaha Hanafi yakni memutuskan ikatan perkahwinan dengan serta merta
dengan Talak Ba'in atau dalam satu tempoh masa dengan Talak raj'ie
dengan lafaz yang tertentu. Mengikut Fuqaha Maliki yakni merungkaikan
ikatan yang sah kerana perkahwinan.

Dengan lafaz talak sama ada menyebutkan atau tidak nama isterinya itu
maka putuslah hubungan suami isteri antara keduanya dan haramlah
mencampuri. Sahnya talak dengan sedar maksud kemahuan dan suka hatinya
si suami tatkala melafazkannya.

Contoh lafaz talak 'aku ceraikan kamu dengan talak satu'

Jatuh talak jika dilafazkan oleh orang yang mabuk kepada isterinya.
Akan tetapi tidak sah talak daripada orang yang gila, kanak-kanak,
dipaksa atau daripada orang yang tidur yakni mengigau.

Haramlah perempuan itu bagi lelaki yang mentalaknya tiga secara
berturut atau sekaligus untuk selama-lamanya melainkan menikahinya
semula setelah perempuan itu menikah dengan lelaki yang lain dulu dan
dicerai oleh lelaki tersebut dan habis idahnya.

Jenis talak mengikut sunnah terbahagi kepada dua; Talak Sunni ,Yakni
talak yang dijatuhkan pada isteri yang telah dicampuri tetapi masih
belum mengandung juga bukan kanak-kanak dan orang tua yang sudah putus
haid.Talak dijatuhkan semasa isterinya dalam keadaan suci dan belum
dicampuri diwaktu haid sebelumnya.

Talak Bid'ie yakni talak yang dijatuhkan pada isteri yang telah
dicampuri. Sama ada pada waktu haidnya atau di waktu suci tetapi telah
dicampuri di dalam haid sebelumnya. Selain itu sesetengah ulama
berpendapat ada talak tidak dikira sunni atau bid'ie yakni talak yang
dijatuhkan pada isteri yang belum dicampuri, atau isteri yang telah
putus haid atau isteri yang sudah mengandung dari perkahwinan yang sah
atau isteri yang masih kecil belum kedatangan haidnya.

Talak adalah kuasa suami, merupakan suatu perkara yang halal dalam
islam tetapi ia perkara yang paling sangat dibenci oleh Allah SWT.
Sebaiknya suami hedaklah banyak bersabar menghadapi kerenah isteri dan
jadikan dirinya sebagai contoh tauladan yang baik sebagai ketua
keluarganya.

IDAH WANITA

Allah swt menetapkan bahawa isteri yang diceraikan berhak mendapat
tempat tinggal di dalam masa idahnya kecuali jika menderhakai
suaminya. Suami atau sesiapa yang lain tidak berhak menghalau dari
mendiami rumah yang didiami bersama suaminya. Isteri pula tidak boleh
keluar kecuali atas sebab keperluan yang sangat penting.

Terdapat tiga jenis Idah iaitu; Idah Quru' yakni yang diambil kira
dari pusingan haid atau sucinya.Mengikut Mazhab Syafi'e pendek idah
wanita yang biasa didatangi haid adalah 32 hari (Kiraan dengan 3 kali
suci) dan lebih sedikit bergantung pada keadaan seseorang itu. Kerana
sependek-pendek haid adalah sehari semalam iaitu 24 jam, manakala
sependek-pendek tempoh suci dari haid adalah selama 15 hari.

Terdapat dua jenis bagi yang beridah dengan kiraan bulan. Yang pertama
adalah mereka yang belum didatangi haid. Seperti kanak-kanak yang
belum baligh atau sudah mencapai 15 tahun tetapi belum didatagi haid,
atau wanita yang sudah putus haidnya dan tidak mengandung. Bagi mereka
tempoh idahnya ialah 3 bulan mengikut kiraan bulan islam. Yang
keduanya, Bagi wanita yang tidak hamil dari perkahwinannya yang sah
dan kematian suaminya idahnya ialah 4 bulan dan 10 hari. Idahnya
bermula dari tarikh kematian tersebut walaupun yang masih didatangi
haidnya.

Idah mengandung adalah bagi wanita yang hamil dan bercerai dengan
suaminya sama ada sebab talak, fasakh atau kematian suaminya. Idahnya
adalah sehingga wanita tersebut melahirkan anak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...