Monday, April 22, 2013

MakNyah

Ibnu Abbas r.a. menyatakan:

لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال 
"Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."
(Riwayat al-Bukhari)

Budaya songsang ini yang akhirnya akan menjebakkan diri ke kancah homoseksual, bukan sahaja dilaknat oleh Nabi SAW, bahkan disebutkan di dalam al-Quran kisah kaum Nabi Luth yang akhirnya dihujani dengan batu sehingga musnahnya kaum tersebut.

Golongan sebegini yang dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya tidak sepatutnya diredhai oleh umat Islam dan mereka tidak sewajarnya diberi keselesaan kecuali dengan menggesa agar mereka kembali kepada jalan yang benar.

Persoalan hak hanya boleh diutarakan jika hak itu adalah kebenaran, tetapi dalam persoalan maknyah, pengkid dan homoseksual ini, tiada hak bagi mempertahankan perkara-perkara yang batil atau yang telah diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bahkan secara saintifik juga sudah membuktikan genetik lelaki yang lembut atau maknyah tetap juga membuktikan bahawa dia masih lelaki, dan begitulah sebaliknya.

Anehnya hari ini kelihatan muslim yang mengambil mereka sebagai teman rapat, bergelak ketawa bersama, sehingga golongan sebegini tidak lagi merasa seperti masyarakat mengecam mereka. Mereka sudah berasa aman dan tanpa segan silu menonjolkan diri mereka di khalayak masyarakat. Apakah sikap berdiam diri kita atau berlepas diri yang akhirnya boleh mengakibatkan kerosakan akhlak dan masyarakat ini akan dapat membantu atau mengubah keadaan ini. Atau apakah hingga Allah menurunkan bala dan azab ke atas kita barulah kita hendak sedar akan tanggungjawab ini. Bersama-samalah kita berpesan-pesan bagi membentuk umat Islam dengan budaya dan prinsip Islam yang sebenar. Wallahu a’lam.

JODOH ITU

"Jodoh itu ketentuan Allah."

"Walau macam mana pun kita setia atau sayang seseorang, tapi kalau dah bukan jodoh memang tak dapat juga."

Begitulah di antara kata-kata yang sering dilontarkan oleh seseorang individu sama ada dia berniat untuk menenangkan hati sahabatnya yang sedang berperang mengejar cinta dan jodohnya atau dia mungkin juga berniat sekadar memperlekehkan usaha sahabatnya.

Kenyataan itu pada hakikatnya memang betul! Jodoh itu memang rahsia dan ketentuan Allah. Tiada siapa yang lahir di dunia ini sudah mengetahui jodohnya dari awal lagi. Tetapi di mana yang salahnya? Yang salahnya adalah sesetengah orang yang salah memahami kenyataan tersebut.

Jodoh itu memang urusan dan rahsia Allah. Ini sekaligus membuktikan bahawa Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Bahkan Allah juga menjelaskan di dalam firman-Nya bahawa makhluk ciptaan-Nya tidak mungkin dapat mengetahui ilmu Allah melainkan apa yang diizinkanNya:

يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ 
Maksudnya: "...Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya..."
(Surah al-Baqarah 2:255)

Di dalam firman-Nya yang lain:

إِنَّ ٱللَّهَ عَـٰلِمُ غَيۡبِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ إِنَّهُ ۥ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati."
(Surah Faatir 35:38)

Akan tetapi apa yang saya maksudkan dengan kegagalan memahami kenyataan yang disebutkan tadi? Kegagalan memahami itu terjadi kerana tidak memahami sunnatullah atau aturan-aturan atau hukum-hakam alam yang telah Allah aturkan di alam semesta ini. Di sinilah peranan usaha ke arah mencapai kejayaan apa yang dihajatkan.

Allah telah menetapkan sunnatullah, jika kita menanam biji benih jagung, maka yang akan tumbuh nanti adalah pokok jagung. Inilah aturan alam yang telah Allah tetapkan. Sama halnya dengan jodoh, jika seseorang mengusahakan untuk berkahwin dengan si gadis A, mana mungkin tiba-tiba esok yang dikahwininya adalah gadis yang entah dari mana datangnya. Memang benar tidak semestinya orang itu dapat kahwin dengan si gadis A, kerana mungkin ada faktor yang menghalang, akan tetapi memang mustahil jika dia dikahwinkan dengan orang yang tidak pernah dia atau sesiapa usahakan untuknya.

Ada orang yang cuba melemahkan semangat seseorang yang sedang berperang untuk mendapatkan jodoh yang dicintainya. Dia berkata: "Kau usaha macam manapun tak guna, jodoh ketentuan Allah." Orang ini sebenarnya tidak faham. Mana mungkin bangun dari tidur, pandang ke tepi sudah ada jodoh di sebelah. Kita perlu usahakan dan jangan pertikaikan sejauh mana seseorang itu hendak berusaha mendapatkan apa yang dicitanya. Kenapa kita perlu usaha? Jawapannya berbalik kepada kenyataan awal tadi, kerana jodoh itu rahsia Allah, maka tiada siapa yang tahu siapa jodohnya, kerana itulah kita mesti usaha!

Yang lebih memalukan sebenarnya adalah orang yang mudah lemah semangat dan tidak berjuang untuk mendapatkan sesuatu yang ingin dimilikinya. Lantas dia dengan mudah menuding kepada takdir! Dia berkata: "Tak apalah, dia bukan ditakdirkan untuk aku." Sedangkan dia sendiri yang enggan berperang untuk mendapatkan apa yang dihajatinya.

Pandanglah ke sekeliling kita. Kebanyakan sahabat atau saudara kita yang sudah berkahwin rata-rata dijodohkan dengan pilihan masing-masing. Allah tidak kejam dan zalim. Itu yang mereka usahakan, insyaAllah memang Allah bagi. Cuma mungkin 1 daripada 10,000 atau 1 daripada 1,000,000 kes yang mana seseorang itu dijodohkan dengan orang yang tidak pernah dia impikan. Mungkin di atas faktor tertentu yang kita tidak ketahui. Walau bagaimanapun, ketahuilah, ia masih pilihan yang kita mampu pilih. Mengapa? Kerana di dalam hadis Nabi SAW ada dinyatakan baginda membubarkan perkahwinan yang mana perempuan yang dinikahkan itu tidak redha dengan pasangannya.

"Dari Khansa bin Khidam bahawa ia dikahwinkan oleh ayahnya setelah ia janda, maka ia datang kepada Rasulullah SAW mengadukan perkaranya. Maka beliau SAW membatalkan perkahwinannya itu."
(Diriwayatkan oleh Bukhari)

Hadith lain disebutkan:

"Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang gadis datang kepada Rasulullah SAW lalu ia menceritakan kepada beliau SAW tentang ayahnya yang mengahwinkannya dengan lelaki yang dia tidak suka. Maka Rasulullah menyuruh dia untuk memilih (menerima atau menolak)."
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud , Ibnu Majah dan Daruquthni)

Allah memberikan hak dan pilihan kepada hamba-Nya. Maka apakah Allah kejam dan zalim? Atau kita yang tidak memahami apa yang disampaikan oleh kenyataan awal itu tadi?

Berusahalah ke arah apa yang dihajati. Berusahalah kerana kita tidak mengetahui apa yang telah ditentukan untuk diri kita ini. Susulilah dengan doa dan serahkan segala keputusan kepada Allah SWT.

Wallahu a’lam.

KEBATILAN WALI-WALI abdal nuqaba nujaba

Dari petikan buku 'Kupasan mengenai ayat-ayat dan hadis sifat, Wali, Menziarahi kubur dan Tawassul oleh Al-Qardhawi':

Wali Abdal, Nuqaba', Nujaba', Al-Awtad, Ghawth dan Qutub seperti wali qutub yang empat, tujuh, dua belas, empat belas, tujuh puluh, tiga ratus tiga belas atau qutub yang besar, mereka ini semua menurut Ibnu Taimiyyah, tidak ada satu hadis sahih tentangnya yang benar-benar datang dari Nabi SAW yang boleh dipegang dan dijadikan hujah. (Taqiy al-Din Ahmad Ibn Taimiyyah (1981), al-Furqan Bayna Awliya' al-Rahman Wa Awliya' al-Syaitan, al-Qahirah: Dar al-Madani, hlm. 13-14)

Berhubung hadis tentang kewujudan wali yang dinamakan sebagai wali Abdal yang berada di Syam, hadis tersebut terputus sanadnya dan tidak sahih menurut Ibn Qayyim. (Syams al-Din Abu Bakar ibn Qayyim al-Jawziyyah (t.th), al-Manar al-Munif Fi al-Sahih Wa al-Da'if, hlm. 186)

Ibnu Taimiyyah berpendapat istilah-istilah wali di atas adalah istilah yang sengaja dicipta dan istilah-istilah yang batil, kerana tidak mempunyai asas yang kukuh baik daripada Al-Quran mahupun al-Sunnah, malah tidak dinyatakan oleh mana-mana tokoh generasi salaf dan syeikh-syeikh sufi yang muktabar. Lebih batil lagi menurut Ibnu Taimiyyah, apabila seseorang meyakini wali Qutub dan wali Ghawth menyediakan rezeki, menolong para makhluk atau memberi bantuan kepada para malaikat dan bintang. Begitu juga dengan tanggapan seseorang yang menyatakan rezeki daripada langit turun di atas nama wali Ghawth semasa yang dikenali dengan nama Khidir, kerana menurut beliau Khidir sudahpun meninggal dunia. Golongan ulama yang berpendapat Khidir masih hidup tidak mempunyai alasan dan hujah yang kukuh yang boleh dipegang, kerana sandaran yang mereka pakai tidak lebih daripada hadis-hadis maudhu' dan mungkar serta bercampur pula dengan cerita-cerita Israeliyat yang ditaja oleh musuh-musuh Islam. (Basri bin Ibrahim (2003), Salah Faham terhadap konsep wali, keramat dan juga kasyaf, Kuala Lumpur: Hidayah Publisher, hlm. 61-65)\

Ulasan:

Umat Islam pada hari ini haruslah berhati-hati apabila mendengar kisah-kisah melampau ini. Penafsiran mengenai wali Allah yang lebih tepat adalah sebagaimana yang dikhabarkan di dalam Al-Quran, Surah Yunus, ayat 63 yang bermaksud:

"(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa."

Umat Islam juga harus mengetahui bahawa wajib mengasihi orang-orang soleh, akan tetapi bersikap melampau di dalam mengagungkan seseorang boleh menjurus kepada perbuatan syirik. Contohnya kata-kata seperti: "Berkat para wali itu dan ini....". Kata-kata sebegini membawa kepada syirik dan ketahuilah para wali tidak mempunyai kuasa untuk memanfaat mahupun memudaratkan orang lain.

Lagi petikan buku tersebut:

Wali pada pandangan mereka bukan manusia biasa seperti imam besar dalam mazhab fiqh seperti Imam Syafie, Abu Hanifah, Malik dan Ahmad bin Hanbal, imam-imam ahli hadis seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidzi dan seluruh pengarang kitab hadis yang enam, ulama-ulama fiqh yang tujuh seperti Said bin Musayyab, al-Qasim bin Muhammad dan lain-lain, para sahabat yang sepuluh yang disampaikan berita gembira dengan memperolehi syurga seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah bin Ubaidillah, al-Zubir bin al-Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqas dan lain-lain, para sahabat kanan seperti Abdullah bin Umar, ibn Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdillah dan lain-lain.

Sebaliknya mereka beranggapan wali itu adalah manusia jenis lain iaitu:
  1. Hijab terbuka untuk mereka. (Boleh melihat benda-benda ghaib)
  2. Mereka boleh membaca apa yang tersembunyi.
  3. Mereka boleh mengetahui apa yang bakal berlaku esok hari.
  4. Mereka boleh berurusan di dalam alam maya mengikut yang mereka kehendaki.
  5. Mereka boleh merubah sebab musabab dan sunnah-sunnah alam mengikut yang mereka kehendaki.
  6. Mereka mempunyai alam yang lain selain daripada alam manusia biasa.
  7. Mereka mempunyai undang-undang yang lain selain daripada undang-undang yang terdapat pada alam maya.
  8. Mereka mempunyai ketua yang dikenali dengan nama Qutub yang empat. Setiap qutub menguasai satu perempat alam dan boleh berurusan mengikut yang dikehendakinya.

Ke semua tanggapan yang disebutkan di atas, menurut Al-Qardhawi merupakan bentuk sanjungan dan penghormatan melampau yang diberikan kepada para wali, yang banyak merosakkan umat sebelum daripada umat Islam.

Ulasan:

Inilah beberapa contoh bentuk pengagungan melampau yang diberikan kepada para wali. Bahkan ada kisah-kisah yang kita dengar di sini yang menyatakan mereka ini mampu berjalan di atas air, juga mampu berjalan ke Mekah dalam masa satu hari. Ini turut dinyatakan di dalam buku ini:

"Abu Yazid al-Bustami pernah diberitahu ada seorang hamba Allah dapat berjalan di atas air. Jawab beliau: "Ikan lebih menakjubkan daripada lelaki itu. Bahkan itu adalah kehidupannya." Beliau diberitahu ada orang dapat terbang di udara; Beliau menjawab: "Burung lebih menakjubkan daripada lelaki itu, kerana itu adalah situasi kehidupannya." Beliau diberitahu, ada orang boleh pergi ke Mekah dan pulang ke kampung pada hari yang sama. Beliau menyatakan: "Iblis dapat mengelilingi dunia dalam masa satu saat sahaja, namun ia berada dalam laknat Allah."

Berwaspadalah kerana ada sesetengahnya melibatkan isu aqidah. Yang mana apabila mempercayai seseorang itu turut mempunyai kuasa selain Allah SWT, ini menjurus kepada syirik rububiyyah.

Saya pernah menemui beberapa orang yang mendakwa mendapat manfaat dari wali-wali tertentu. Contohnya air jampi dan tangkal azimat. Ada pula yang mendakwa wali tersebut telah dahulu mengetahui masalah yang dihadapinya. Perkara sebegini adalah sepertimana yang didakwa dan biasa kita dengar oleh bomoh-bomoh yang. Dan hal ini ditegah oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Dari Aisyah r.a katanya:.”Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih."
(Hadith riwayat Muslim)

Umat Islam haruslah menghindari golongan yang mendakwa dan menceritakan hal-hal sebegini kerana dakwaan-dakwaan mereka ini tidak bersumberkan Al-Quran dan hadis sahih. Oleh itu, hujah-hujah mereka tidak boleh dipegang apatah lagi isu-isu sebegini melibatkan aqidah.

Penulisan ini juga bukan bermakna menafikan 'karomah' dan perkara-perkara yang menyalahi adat yang dizahirkan Allah SWT melalui para waliNya. Cuma memberi tumpuan berlebihan dan melampau terhadap karomah dan perkara-perkara pelik yang berlaku adalah tidak memberi banyak manfaat kepada umat Islam, malah lebih mudah untuk terjerumus kepada syirik. Apatah lagi sebahagian kisah-kisah karomah yang diceritakan tidak dapat dibuktikan melalui riwayat yang benar-benar sahih dan tepat.

Wallahu a’lam.

PENGAJARAN

Ilmu metafizik juga turut merangkumi perihal-perihal ghaib dan perkara mistik. Sumber yang tepat di dalam merungkai permasalahan ini hanyalah sumber wahyu. Ini kerana hanya Allah yg mengetahui benda yang ghaib. Ini dijelaskan di dalam banyak ayat-ayat al-Quran. Antaranya adalah firman Allah:

قُل لَّا يَعۡلَمُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ ٱلۡغَيۡبَ إِلَّا ٱللَّهُ‌ۚ 
Maksudnya: "Katakanlah: "Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah", dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan."
(Surah an-Naml 27:65)

Bila orang cakap, saka itu tak boleh keluar kalau kita tak buat itu ini ... yang mana akhirnya kita pula terpaksa jumpa bomoh, gunakan sihir atau benda yang syirik untuk buang saka tersebut. Ada pula orang yang cakap kalau hantu tu nak itu ini, kita kena bagi dia makan, darah, atau sebagainya. Persoalannya, siapa yang tentukan semua ini? Tak usahlah kita percaya kepada dakwaan semua ini yang hanya boleh membawa kepada kerosakan aqidah.

Ingatlah, sumber yang tepat di dalam permasalahan metafizik hanyalah sumber wahyu iaitu al-Quran ataupun as-Sunnah. Selain dari itu, cakap bomoh, pakar mistik, atau sesiapa sahaja yang berkaitan, semua itu hanyalah sangkaan semata-mata. Jawapan yang paling tepat adalah, kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah. Allah berfirman:

إِنَّهُ ۥ لَيۡسَ لَهُ ۥ سُلۡطَـٰنٌ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَڪَّلُونَ
Maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya."
(Surah an-Nahl 16:99)

Maka tingkatkanlah keimanan dan tawakkal kepada Allah SWT. Pelajarilah doa-doa yang tsabit dengan sunnah yang Nabi SAW ajarkan untuk mengatasi masalah ini. Wallahu a'lam

KUASA ANAK SULUNG

Sesetengah masyarakat Melayu, mereka berpegang kepada satu adat yang buruk, yang kononnya mencerminkan kekuatan atau perpaduan sesebuah keluarga yang besar, yang tanpa mereka sedar, mereka menyusahkan perkara yang sepatutnya menjadi mudah serta menafikan hak orang lain yang sepatutnya lebih mempunyai kuasa di dalam membuat keputusan apabila ia diperlukan.

Adat yang saya maksudkan adalah 'kuasa anak sulung', iaitu contohnya jika sebuah keluarga mempunyai ramai adik beradik, kemudian jika anak-anak dari adik beradik mereka itu hendak berkahwin, mereka perlu mendapat persetujuan dari abang atau kakak yang sulung. Abang atau kakak yang sulung ini diberikan mandat atau kuasa di dalam menentukan siapakah yang akan berkahwin terlebih dahulu meskipun anak-anak itu bukanlah anak kandung mereka, akan tetapi adalah anak-anak daripada adik-adik mereka.

Adat ini menjadi lebih dahsyat apabila yang sulung itu adalah 'kakak'. Ini kerana kebiasaannya pelbagai syarat dan tuntutan demi tuntutan perlu dipenuhi sehingga menyusah-nyusahkan pihak yang hendak meminang atau dipinang. Bahkan tuntutan nafsu si anak itu terpaksa diikat demi menjaga adat keluarga!

Adat ini juga menafikan hak sebenar si ayah atau ketua keluarga yang sebenar. Jika si ayah menuruti adat ini, maka dia hanya membenarkan dirinya menjadi si ayah yang dayus, yang tidak menegakkan hak dan kebenaran apabila ia perlu dipertahankan serta menunjukkan kelemahannya apabila gagal menentukan keputusan demi masa depan anak-anaknya. Tidak sepatutnya dia menyerahkan keputusan sebegini ke atas tangan yang sulung!

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Si abang atau kakak sulung ini akhirnya dengan sewenang-wenangnya menjadi 'master planner' di dalam menentukan anak siapa yang akan kahwin dulu! Allah SWT berfirman:

إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."
(Surah al-A'raf 7:55)

Adat sebegini perlulah dihapuskan dan ditinggalkan. Ia hanya mencerminkan budaya yang tidak bertamadun dan tidak beragama. Sesungguhnya agama ini datang membawakan cahaya yang menerangi jalan hamba-hamba Allah dengan rahmat-Nya dan mengeluarkan manusia ini daripada kejahilan, kegelapan dan kesusahan kepada jalan yang benar dan memudahkan. Sesungguhnya agama Islam ini adalah rahmat sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ
Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
(Surah al-Anbiyaa' 21:107)

Ada orang bertanya saya: "Bagaimana awak nak kahwin?" Saya menjawab: "Dengan cara yang paling mudah dan senang!" Kemudian yang mendengar jawapan itu memberikan reaksi wajah pelik dan ada pula yang berkata: "Kau ni serius nak kahwin ke tak?" atau "Kau ingat ada ke orang nak beri kau kahwin senang-senang?" Inilah antara respons yang saya dapat. Sungguh aneh mentaliti sebilangan masyarakat hari ini. Terbayang atau tergambar di fikiran mereka, bila berbicara hal kahwin, mereka membayangkan KESUSAHAN!!! Moga Allah memberi petunjuk dan hidayah-Nya dan mengeluarkan umat ini dari kejahilan.

Andailah perkahwinan saya atau anda nanti senang atau susah, janganlah ia menjadi alasan untuk kita berhenti dari terus menyeru dan berdakwah agar umat ini dikeluarkan daripada kejahilan adat sebegini terutamanya apabila kita masing-masing sudah mempunyai anak nanti. Insya Allah. Wallahua'lam.

Velentine's Day Haram menyambut Bagi Umat Islam

Umum masyarakat mengetahui Valentine's Day merupakan suatu sambutan Hari Kekasih yang disambut pada 14hb Februari setiap tahun. Kita juga tahu bahawa sambutan ini bukanlah budaya Islam mahupun budaya masyarakat timur. Sambutan ini adalah merupakan pengaruh barat yang bersangkut paut dengan agama Kristian.

Siapakah sebenarnya Valentine?
Terdapat sebilangan yang menyambut Hari Kekasih ini tidak pernah tahu akan asal usul hari Valentine dan siapakah yang dimaksudkan dengan Valentine ini dan mengapa ia dinamakan sebagai Hari Kekasih. Oleh sebab inilah mereka berterusan menyambut Hari Kekasih tanpa rasa bersalah.

Menurut Gereja Katolik, sekurang-kurangnya terdapat 3 orang berbeza yang bernama Valentine atau Valentinus yang dikaitkan dengan upacara ini. Mengikut salah satu kisah antara ketiganya, terdapat seorang yang bernama Valentine telah dipenjarakan dan ketika di dalam penjara, dia telah jatuh cinta dengan seorang gadis muda yang dipercayai merupakan anak kepada pegawai penjara tersebut. Sebelum hari kematiannya dipercayai dia telah menulis surat cinta buat kekasihnya.1

Benar atau tidak kisah tersebut, Valentine's Day ini adalah jelas bukan budaya Islam dan sambutan ini WAJIB dijauhi dan ditinggalkan apatah lagi kerana ia bersangkut paut dengan agama lain.

HARAM menyambut Valentine's Day
Di dalam khutbah Jumaat pada 11 Februari lepas di kedua-dua negeri iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah disampaikan dan diingatkan lagi bahawa HARAM menyambut sambutan Hari Kekasih ini.

"Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine 's Day adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oIeh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya juga bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oIeh Islam."2

Apakah yang dimaksudkan menyambut Valentine?
Sambutan Hari Valentine ini kebiasaannya akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti kemaksiatan. Pasangan kekasih akan keluar dating, berkirim bunga, kad ucapan dan sebagainya dan terdapat pula yang diakhiri dengan ZINA.

Ada pula pasangan yang mungkin mengatakan mereka hanya sekadar bertukar ucapan'I love you' di hari Valentine. Persoalannya mengapa perlu dispesifikkan pada hari Valentine? Mengapa tidak diucapkan di hari-hari lain? Mungkin ada yang menjawab kerana ia adalah Hari Kekasih. Hari Kekasih siapa? Paderi Kristian? Jika mereka mengetahuinya sekalipun kebanyakan mereka (orang Islam yang menyambut) tidak tergamak untuk mengakui hakikat tersebut.

Menyambut Valentine's Day merosakkan akidah
Sambutan ini juga boleh merosakkan akidah seorang muslim. Ini kerana kita ditegah untuk menyambut apa sahaja sambutan yang berkaitan dengan agama lain kerana ia juga termasuk di dalam kategori menyerupai kaum tersebut. Di dalam satu hadis popular, Rasulullah SAW bersabda,

"Barangsiapa meniru sesuatu (pelakuan) umat, mereka tergolong di kalangan mereka."3

Marilah berubah ke arah kebaikan
Buat sahabat dan bagi mereka yang pernah menyambut sambutan sebegini, marilah berubah serta bertaubat dan menuju ke arah kebaikan. Tiada manusia yang terlepas dari melakukan kesalahan dan kadang kala ia akibat kejahilan (kurang ilmu pengetahuan) kita di dalam perihal agama. Jika tidak kita sendiri kaum muslimin menegakkan apa yang telah disyariatkan Islam, kepada siapa lagi kita kita harus pertanggungjawabkan. Kita marah apabila umat lain menindas orang Islam, akan tetapi apa gunanya jika kita sendiri pula yang mencabul kehormatan agama ini.

Wallahu a’lam.

Monday, April 15, 2013

Doa Ketika Keluar Rumah


Doa ketika keluar Rumah

"Ya Allah, aku berlindung denganMu supaya tidak sesat atau disesatkan, menyeleweng atau diselewengkan, berbuat aniaya atau dianiayakan, bodoh atau diperbodohkan ke atasku".
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...