Monday, April 22, 2013

KEBATILAN WALI-WALI abdal nuqaba nujaba

Dari petikan buku 'Kupasan mengenai ayat-ayat dan hadis sifat, Wali, Menziarahi kubur dan Tawassul oleh Al-Qardhawi':

Wali Abdal, Nuqaba', Nujaba', Al-Awtad, Ghawth dan Qutub seperti wali qutub yang empat, tujuh, dua belas, empat belas, tujuh puluh, tiga ratus tiga belas atau qutub yang besar, mereka ini semua menurut Ibnu Taimiyyah, tidak ada satu hadis sahih tentangnya yang benar-benar datang dari Nabi SAW yang boleh dipegang dan dijadikan hujah. (Taqiy al-Din Ahmad Ibn Taimiyyah (1981), al-Furqan Bayna Awliya' al-Rahman Wa Awliya' al-Syaitan, al-Qahirah: Dar al-Madani, hlm. 13-14)

Berhubung hadis tentang kewujudan wali yang dinamakan sebagai wali Abdal yang berada di Syam, hadis tersebut terputus sanadnya dan tidak sahih menurut Ibn Qayyim. (Syams al-Din Abu Bakar ibn Qayyim al-Jawziyyah (t.th), al-Manar al-Munif Fi al-Sahih Wa al-Da'if, hlm. 186)

Ibnu Taimiyyah berpendapat istilah-istilah wali di atas adalah istilah yang sengaja dicipta dan istilah-istilah yang batil, kerana tidak mempunyai asas yang kukuh baik daripada Al-Quran mahupun al-Sunnah, malah tidak dinyatakan oleh mana-mana tokoh generasi salaf dan syeikh-syeikh sufi yang muktabar. Lebih batil lagi menurut Ibnu Taimiyyah, apabila seseorang meyakini wali Qutub dan wali Ghawth menyediakan rezeki, menolong para makhluk atau memberi bantuan kepada para malaikat dan bintang. Begitu juga dengan tanggapan seseorang yang menyatakan rezeki daripada langit turun di atas nama wali Ghawth semasa yang dikenali dengan nama Khidir, kerana menurut beliau Khidir sudahpun meninggal dunia. Golongan ulama yang berpendapat Khidir masih hidup tidak mempunyai alasan dan hujah yang kukuh yang boleh dipegang, kerana sandaran yang mereka pakai tidak lebih daripada hadis-hadis maudhu' dan mungkar serta bercampur pula dengan cerita-cerita Israeliyat yang ditaja oleh musuh-musuh Islam. (Basri bin Ibrahim (2003), Salah Faham terhadap konsep wali, keramat dan juga kasyaf, Kuala Lumpur: Hidayah Publisher, hlm. 61-65)\

Ulasan:

Umat Islam pada hari ini haruslah berhati-hati apabila mendengar kisah-kisah melampau ini. Penafsiran mengenai wali Allah yang lebih tepat adalah sebagaimana yang dikhabarkan di dalam Al-Quran, Surah Yunus, ayat 63 yang bermaksud:

"(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa."

Umat Islam juga harus mengetahui bahawa wajib mengasihi orang-orang soleh, akan tetapi bersikap melampau di dalam mengagungkan seseorang boleh menjurus kepada perbuatan syirik. Contohnya kata-kata seperti: "Berkat para wali itu dan ini....". Kata-kata sebegini membawa kepada syirik dan ketahuilah para wali tidak mempunyai kuasa untuk memanfaat mahupun memudaratkan orang lain.

Lagi petikan buku tersebut:

Wali pada pandangan mereka bukan manusia biasa seperti imam besar dalam mazhab fiqh seperti Imam Syafie, Abu Hanifah, Malik dan Ahmad bin Hanbal, imam-imam ahli hadis seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidzi dan seluruh pengarang kitab hadis yang enam, ulama-ulama fiqh yang tujuh seperti Said bin Musayyab, al-Qasim bin Muhammad dan lain-lain, para sahabat yang sepuluh yang disampaikan berita gembira dengan memperolehi syurga seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah bin Ubaidillah, al-Zubir bin al-Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqas dan lain-lain, para sahabat kanan seperti Abdullah bin Umar, ibn Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdillah dan lain-lain.

Sebaliknya mereka beranggapan wali itu adalah manusia jenis lain iaitu:
  1. Hijab terbuka untuk mereka. (Boleh melihat benda-benda ghaib)
  2. Mereka boleh membaca apa yang tersembunyi.
  3. Mereka boleh mengetahui apa yang bakal berlaku esok hari.
  4. Mereka boleh berurusan di dalam alam maya mengikut yang mereka kehendaki.
  5. Mereka boleh merubah sebab musabab dan sunnah-sunnah alam mengikut yang mereka kehendaki.
  6. Mereka mempunyai alam yang lain selain daripada alam manusia biasa.
  7. Mereka mempunyai undang-undang yang lain selain daripada undang-undang yang terdapat pada alam maya.
  8. Mereka mempunyai ketua yang dikenali dengan nama Qutub yang empat. Setiap qutub menguasai satu perempat alam dan boleh berurusan mengikut yang dikehendakinya.

Ke semua tanggapan yang disebutkan di atas, menurut Al-Qardhawi merupakan bentuk sanjungan dan penghormatan melampau yang diberikan kepada para wali, yang banyak merosakkan umat sebelum daripada umat Islam.

Ulasan:

Inilah beberapa contoh bentuk pengagungan melampau yang diberikan kepada para wali. Bahkan ada kisah-kisah yang kita dengar di sini yang menyatakan mereka ini mampu berjalan di atas air, juga mampu berjalan ke Mekah dalam masa satu hari. Ini turut dinyatakan di dalam buku ini:

"Abu Yazid al-Bustami pernah diberitahu ada seorang hamba Allah dapat berjalan di atas air. Jawab beliau: "Ikan lebih menakjubkan daripada lelaki itu. Bahkan itu adalah kehidupannya." Beliau diberitahu ada orang dapat terbang di udara; Beliau menjawab: "Burung lebih menakjubkan daripada lelaki itu, kerana itu adalah situasi kehidupannya." Beliau diberitahu, ada orang boleh pergi ke Mekah dan pulang ke kampung pada hari yang sama. Beliau menyatakan: "Iblis dapat mengelilingi dunia dalam masa satu saat sahaja, namun ia berada dalam laknat Allah."

Berwaspadalah kerana ada sesetengahnya melibatkan isu aqidah. Yang mana apabila mempercayai seseorang itu turut mempunyai kuasa selain Allah SWT, ini menjurus kepada syirik rububiyyah.

Saya pernah menemui beberapa orang yang mendakwa mendapat manfaat dari wali-wali tertentu. Contohnya air jampi dan tangkal azimat. Ada pula yang mendakwa wali tersebut telah dahulu mengetahui masalah yang dihadapinya. Perkara sebegini adalah sepertimana yang didakwa dan biasa kita dengar oleh bomoh-bomoh yang. Dan hal ini ditegah oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Dari Aisyah r.a katanya:.”Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih."
(Hadith riwayat Muslim)

Umat Islam haruslah menghindari golongan yang mendakwa dan menceritakan hal-hal sebegini kerana dakwaan-dakwaan mereka ini tidak bersumberkan Al-Quran dan hadis sahih. Oleh itu, hujah-hujah mereka tidak boleh dipegang apatah lagi isu-isu sebegini melibatkan aqidah.

Penulisan ini juga bukan bermakna menafikan 'karomah' dan perkara-perkara yang menyalahi adat yang dizahirkan Allah SWT melalui para waliNya. Cuma memberi tumpuan berlebihan dan melampau terhadap karomah dan perkara-perkara pelik yang berlaku adalah tidak memberi banyak manfaat kepada umat Islam, malah lebih mudah untuk terjerumus kepada syirik. Apatah lagi sebahagian kisah-kisah karomah yang diceritakan tidak dapat dibuktikan melalui riwayat yang benar-benar sahih dan tepat.

Wallahu a’lam.

2 comments:

TiranaAduka said...

lawatan ptg tirana aduka

TiranaAduka said...

maaf lama tak dtg sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...