Friday, September 10, 2010

Menghafal Hadith Di kalangan Sahabat


Jika ditanya siapakah sahabat Nabi yang paling banyak menghafaz hadith, sudah tentu kebanyakan dari kita membayangkan nama seorang sahabat Nabi yang agung yang bernama Abu Hurairah.


Nama asal


Nama asal beliau di zaman Jahiliyyah ialah Abdul Syams bin Sokhr ad-Dausi (hamba matahari). Namun setelah beliau memeluk agama Islam, Rasulullah s.a.w menukarkan nama asalnya kepada Abdul Rahman bin Sokhr ad-Dausi (عبد الرحمن بن صخر الدوسي)
. (al-Isobah Fi Ma`rifah as-Sohabah, Juz 3, Hlm 416)


Asal usul gelaran


Oleh kerana Abu Hurairah semenjak kecil suka bermain dengan anak kucing, maka rakan-rakan sebayanya sering memanggil beliau sebagai ‘Abu Hurairah’ (bapa kucing). Gelaran ini tersebar luas dan menjadi popular hingga gelaran ‘Abu Hurairah’ mengatasi nama asal ‘Abdul Rahman’. (Lihat Sunan Tirmizi – Bab Manaqib Abu Hurairah)


Apabila hubungan beliau dan Nabi menjadi rapat, Nabi lebih gemar memanggilnya dengan gelaran ‘Abu Hirr’. Maka beliau setelah itu lebih gemar memperkenalkan dirinya dengan gelaran yang diberikan oleh Rasulullah (Lihat Sahih al-Bukhari – Hadith 276, Suwarun Min Hayat As-Sahabah, hlm. 494)


Keislaman beliau


Abu Hirr telah memeluk agama Islam di tangan ketua qabilahnya, at-Tufail bin Amru ad-Dausi pada tahun berlakunya peperangan Khaibar. Ketika itu beliau masih berada di kampung halamannya ad-Daus. Hanya setelah 6 tahun umat Islam berhijrah ke Madinah, barulah beliau berpeluang berangkat ke Madinah dan terus menetap di sana.


Berapa banyak hadith yang dihafaz oleh Abu Hurairah?


Menurut pengarang kitab Suwarun Min Hayat as-Sahabah, Dr. Abdul Rahman Ra`fat al-Basya, Abu Hurairah telah menghafaz lebih dari 1600 hadith Rasulullah. Namun menurut Prof. Dr. Nuruddin `Itr pula, hadith yang telah diriwayatkan oleh beliau ialah sebanyak 5374 hadith. (I`lam al-Anam, juz 1, hlm. 40)


Siapa yang paling banyak?

Menurut hadith yang direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Ahmad, Abu Hurairah adalah sahabat Nabi yang paling banyak menghafaz as-Sunnah.
Ini berdasarkan pengakuan Ibnu Umar.



Wahai Abu Hurairah, kamu ialah orang yang kerap melazimi Rasulullah s.a.w dan orang yang paling banyak menghafal hadith-hadith baginda.
Namun, dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh al-Bukhari dan juga at-Tirmizi, Abu Hurairah telah membuat pengakuan terbuka dengan menyatakan:



Tidak ada di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w yang paling banyak meriwayatkan hadith lebih dari saya, kecuali Abdullah bin Amru bin al-`As, maka dia lebih banyak daripada saya kerana dia mencatatnya dan saya pula tidak mencatatnya.


(Suka diingatkan di sini, menghafaz hadith bukan sekadar melalui proses mengingat di dalam kepala, bahkan ia juga melalui merekod di dalam tulisan)


Kenapa nama Abu Hurairah yang lebih kerap?
Timbul persoalan, jika Abdullah yang lebih banyak menghafaz hadith, mengapa Abu Hurairah yang lebih popular serta lebih banyak hadith yang dilaporkannya berbanding Abdullah?


Bagi menghimpunkan di antara 2 jenis hadith yang bercanggah, para ulama telah memberikan beberapa sebab mengapa Abu Hurairah yang lebih masyhur :


1) Abdulullah lebih banyak meluangkan masa beribadah berbanding terbabit aktif meriwayatkan hadith. Kerana itu sedikit periwayatan darinya.


2) Abdullah berpindah Mesir atau Taif dan menetap di sana di zaman pemerintahan Khulafa` ar-Rasyidin. Mesir atau Taif pada waktu itu belum menjadi pusat ilmu. Justeru, tidak ramai Tabi`in yang mencari ilmu di sana.


3) Abu Hurairah pula menetap di Madinah yang merupakan pusat ilmu terulung pada zaman itu. Justeru, ramai Tabi`in yang berguru dengan beliau. Menurut imam al-Bukhari, Abu Hurairah mempunyai 800 orang murid di kalangan Tabi`in.


4) Selain mengajar, Abu Hurairah juga terlibat secara aktif dengan tugas sebagai mufti di zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan. Ini menambahkan peluang untuk beliau menyebarkan Sunnah.


5) Abdullah pernah diberikan sejumlah besar daripada buku-buku Ahli Kitab sewaktu berada di Syam. Lalu beliau banyak membaca dan melakukan kajian ke atas cerita-cerita Israiliyyat. Hal ini menyebabkan Tabi`in kurang berminat mengambil hadith daripada beliau. (barangkali kerana dikhuatiri hadith-hadith beliau bercampur aduk dengan unsur israiliyyat yang tidak diketahui kesahihannya – penulis)


Begitulah antara sebab mengapa Abu Hurairah seolah dilihat lebih banyak menghafaz hadith. Sekaligus memberi faham bahawa menyebarkan ilmu melalui pengajaran dapat meramaikan manusia yang mewarisi ilmu di samping ianya juga menggandakan pahala.


Demi Allah, seseorang yang diberi hidayah oleh Allah melalui engkau adalah terlebih baik (nilainya) daripada unta merah (harta paling mahal yang didambakan orang Arab di zaman dahulu)


H.R Abu Daud

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...