Mungkin ada yang secara spontan menghukum golongan ini, namun saya sebagai seorang pendakwah tidak mampu untuk berbuat demikian. Membantu, sentiasa lebih utama untuk difikirkan. Siapalah saya untuk menilai dan menghukum, kerana penilaian saya juga akan dinilai oleh Maha Penilai di sana, dan Maha Menghukum atas keculasan saya tidak membantu sesama saudara.
Apatah lagi, mereka yang saya temui ini mempunyai syakhsiah yang baik. Mereka adalah remaja yang taat kepada Allah pada ibadah dan akhlak, tetapi mereka terseksa kerana menanggung 'dosa perasaan' lantaran kecenderungan diri yang ganjil itu. Malah saya hargai kepercayaan yang mereka berikan apabila tampil meminta pertolongan dari saya, walaupun tidak banyak yang dapat saya lakukan, selain sokongan nasihat dan keyakinan diri.
Menghadapi golongan ini, tidak boleh disamakan dengan pendekatan kita terhadap isu homoseksualiti. Nyatanya, kebanyakan artikel yang saya temui, mengecam homoseksualiti dengan sokongan keterangan al-Quran dan al-Hadith. Saya yakin, remaja yang datang bertemu dengan saya amat sedar akan hal ini. Kerana itulah mereka tidak berzina sejenis, mereka tidak bergaul bebas. Mereka datang meminta bantuan atas rasa bersalah yang tinggi terhadap naluri yang menyalahi iman itu. Maka mereka memerlukan nasihat, panduan dan sokongan. Bukan kecaman.
Kerana itu, saya lebih simpati, berbanding marah atau terkilan, kerana mereka tetap berada di dalam status mangsa, selagi mana perasaan itu tidak dimaterialisasikan pada maksiat fizikal zina, liwat dan yang seumpama dengannya.
Saya cuba menyelami masalah mereka, dan nyatanya mereka adalah golongan yang sangat kesunyian dan sepi. Mereka hidup dalam kesunyian, bukan kerana kosong dari kehidupan berkawan dan berakan taulan. Sunyi itu datang kerana mereka sering memikul diri lari jauh dari semua orang di sekitar mereka, bersama rahsia yang terlalu berat untuk jatuh ke pengetahuan manusia. Mereka ini adalah manusia yang bersembunyi di tengah ramai.
SEKADAR NASIHAT
Nasihat pertama saya kepada remaja seperti ini, adalah untuk terus bertahan dari mendekati liwat dan cabang-cabangnya. Sebagaimana lelaki mukmin perlu menjauhkan dirinya dari zina, maka lelaki dari kumpulan ini juga mesti menjauhkan diri mereka dari zina sejenis, kerana kedua-duanya adalah kekalahan seorang manusia kepada hawa nafsunya yang mengundang penyesalan tanpa hujung. Allah tidak menghukum kalian atas perasaan itu, tetapi hukuman dan kemurkaan bakal menimpa kalian yang merealisasikannya pada perbuatan.
Kuatkan iman, teguhkan pendirian.
Namun saya berpandangan, perjuangan mempertahankan diri dari zina sejenis ini, jauh lebih sukar, kerana golongan ini sentiasa tinggal bersama golongan yang menjadi kecenderungan nafsunya. Jika lelaki normal' boleh menghindarkan dirinya dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, golongan ini pula harus teguh berganda…
CEBURKAN DIRI PADA AMAL ISLAM
Tempuhilah usia akhir belasan tahun, dan 20an itu sebagai usia mujahadah menentang gelodak hormon dan ketidak seimbangan emosi yang rumit. Berikan diri kepada aktiviti-aktiviti, khususnya kerja Islam, dan sambutlah kesukaran-kesukaran yang muncul sebagai cara Allah mengekalkan kita dalam kebaikan.
"Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dia itu dengan kesusahan"� (Al-Bukhari dan Muslim)
Kesusahan hidup di jalan dakwah, akan menyulitkan nafsu bangun menjajah keputusan diri. Bukan saya bermaksud agar mereka ini perlu sengaja mencari kesusahan diri, tetapi jalan dakwah dan kesibukan akan menghindarkan setiap remaja lelaki yang normal dan 'tidak normal' ini dari dosa fahsya' seperti zina dan yang seumpama dengannya. Sibukkan diri. Jangan iyakan perasaan itu.
Rukood al-maa' yufsiduhu, firaagh asy-syaab yaqtuluhu
"Air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu" – Pepatah Arab
Berikan peluang kepada diri untuk melepasi usia 20an itu, sehingga keredaan naluri muncul seiring dengan pertambahan usia.
1 comment:
cukup bagus dan bermanfaat
Post a Comment