Wednesday, January 21, 2015

KUASA ANAK SULUNG

Sesetengah masyarakat Melayu, mereka berpegang kepada satu adat yang buruk, yang kononnya mencerminkan kekuatan atau perpaduan sesebuah keluarga yang besar, yang tanpa mereka sedar, mereka menyusahkan perkara yang sepatutnya menjadi mudah serta menafikan hak orang lain yang sepatutnya lebih mempunyai kuasa di dalam membuat keputusan apabila ia diperlukan.

Adat yang saya maksudkan adalah 'kuasa anak sulung', iaitu contohnya jika sebuah keluarga mempunyai ramai adik beradik, kemudian jika anak-anak dari adik beradik mereka itu hendak berkahwin, mereka perlu mendapat persetujuan dari abang atau kakak yang sulung. Abang atau kakak yang sulung ini diberikan mandat atau kuasa di dalam menentukan siapakah yang akan berkahwin terlebih dahulu meskipun anak-anak itu bukanlah anak kandung mereka, akan tetapi adalah anak-anak daripada adik-adik mereka.



Adat ini menjadi lebih dahsyat apabila yang sulung itu adalah 'kakak'. Ini kerana kebiasaannya pelbagai syarat dan tuntutan demi tuntutan perlu dipenuhi sehingga menyusah-nyusahkan pihak yang hendak meminang atau dipinang. Bahkan tuntutan nafsu si anak itu terpaksa diikat demi menjaga adat keluarga!

Adat ini juga menafikan hak sebenar si ayah atau ketua keluarga yang sebenar. Jika si ayah menuruti adat ini, maka dia hanya membenarkan dirinya menjadi si ayah yang dayus, yang tidak menegakkan hak dan kebenaran apabila ia perlu dipertahankan serta menunjukkan kelemahannya apabila gagal menentukan keputusan demi masa depan anak-anaknya. Tidak sepatutnya dia menyerahkan keputusan sebegini ke atas tangan yang sulung!

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Si abang atau kakak sulung ini akhirnya dengan sewenang-wenangnya menjadi 'master planner' di dalam menentukan anak siapa yang akan kahwin dulu! Allah SWT berfirman:

إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."
(Surah al-A'raf 7:55)

Adat sebegini perlulah dihapuskan dan ditinggalkan. Ia hanya mencerminkan budaya yang tidak bertamadun dan tidak beragama. Sesungguhnya agama ini datang membawakan cahaya yang menerangi jalan hamba-hamba Allah dengan rahmat-Nya dan mengeluarkan manusia ini daripada kejahilan, kegelapan dan kesusahan kepada jalan yang benar dan memudahkan. Sesungguhnya agama Islam ini adalah rahmat sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ
Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
(Surah al-Anbiyaa' 21:107)

Ada orang bertanya saya: "Bagaimana awak nak kahwin?" Saya menjawab: "Dengan cara yang paling mudah dan senang!" Kemudian yang mendengar jawapan itu memberikan reaksi wajah pelik dan ada pula yang berkata: "Kau ni serius nak kahwin ke tak?" atau "Kau ingat ada ke orang nak beri kau kahwin senang-senang?" Inilah antara respons yang saya dapat. Sungguh aneh mentaliti sebilangan masyarakat hari ini. Terbayang atau tergambar di fikiran mereka, bila berbicara hal kahwin, mereka membayangkan KESUSAHAN!!! Moga Allah memberi petunjuk dan hidayah-Nya dan mengeluarkan umat ini dari kejahilan.

Andailah perkahwinan saya atau anda nanti senang atau susah, janganlah ia menjadi alasan untuk kita berhenti dari terus menyeru dan berdakwah agar umat ini dikeluarkan daripada kejahilan adat sebegini terutamanya apabila kita masing-masing sudah mempunyai anak nanti. Insya Allah. Wallahua'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...