Sunday, December 27, 2009

Wanita dan Auratnya

Islam telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Saya hairan kadang-kadang ada wanita yang bergelar ustazah yang berpakaian tidak mengikut syarak Islam. Bagaimana dia hendak menyampaikan seruan Islam kepada umum sedangkan dia juga berpakaian tidak ikut syarak. Sejak kebelakangan ini, pakaian menurut Islam dipesongkan dengan berbagai fesyen yang dapat menarik penglihatan lelaki terhadap pakaian yang dinamakan busana muslimah. Islam bukan menghalang berfesyen tetapi wajib mematuhi garisan yang telah ditetapkan Islam. Sepertimana firman Allah : “sesungguhnya Allah suka kepada perkara yang cantik dan kemas”.
Ada setengah wanita Islam hanya meletakkan auratnya kepala dan rambutnya sahaja, contohnya kepala bertudung tetapi lengannya terbuka (pakai baju tangan pendek). Ada pula kain tebelah sehingga menampakkan kakinya, tetapi kepalanya bertudung. Ada yang bertudung Wahida atau Wardina tetapi dihiaskan dengan keronsang-keronsang yang berkilau serta berbaju kilat sehingga dapat menarik pandangan orang lain. Di kampung, ramai wanita keluar dari rumah untuk menjemur pakaian atau sapu sampah dikawasan rumahnya hanya bertudung atau diletakkan sehelai kain dikepalanya dan kakinya tidak berstokin.

Bagi wanita yang menjaga auratnya dengan berpakaian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam, maka ia telah menjaga dirinya dari fitnah pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Percayalah dengan pakaian yang sempurna dapat menghindarkan dirinya dari perbuatan jahat, perbuatan keji dan mungkar. Wanita perlu ambil berat masalah ini, kerana takut diri mereka menjadi mangsa kepada kejahatan yang tidak diingini. Banyak kes-kes pencabulan, rogol dan sebagainya adalah disebabkan wanita berpakaian yang menarik dan menjolok mata.

Apa pun kehidupan di dunia ini adalah untuk memperolehi kebahagiaan yang dituntut oleh Islam iaitu kebahagian di dunia dan di akhirat. Tergerak hati saya untuk menulis satu artikel berkaitan dengan pakaian wanita yang sekarang ini semakin bergaya dengan fesyen yang dinamakan busana muslimah.

Wednesday, December 23, 2009

Nafkah Batin - Bukan Hanya Keperluan Seks

Tidak semua wanita yang tidak mahu berkahwin itu terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji besar. Ada juga dikalangan mereka yang bercita-cita ingin mencari lalaki yang berilmu dan beramal diatas segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt.
Oleh itu mereka terpaksa bertangguh untuk mendirikan rumahtangga dan untuk mencari seorang lelaki yang beramal saleh di akhir zaman ini ibarat payahnya mencari sebutir mutiara asli. Sebabnya, ramai suami dewasa ini mencuaikan tanggungjawabnya di dalam mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri dan guru sahaja.
Kita percaya hampir ke semua suami berjaya menunaikan tanggungjawabnya di dalam memberi nafkah zahir(seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal) kepada ahli keluarganya. Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu.
Bila sesempit itu pandangan mereka, maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai mengaji Al Quran, cuai berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.
Nabi saw telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud: "Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya."
Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka. Nabi saw pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah swt dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya. "
Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardhu ain iaitu tauhid, fekah dan tasauf. tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya aqidah mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Contohnya, mempelajari sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul. Mempercayai rukun-rukun Iman dan rukun-rukun Islam.
Kita diwajibkan mempelajari ilmu fekah sebagaimana penekanan Allah menerusi firmannya bermaksud: "Ketahuilah! Bahawa dianjurkan bagi seorang suami memerintahkan isterinya(dan mengingatkannya dengan nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajarnya akan hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah (yang wajib dan sunat)."
Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.
Tujuan mempelajari ilmu tasauf pula supaya setiap amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan dijauhkan daripada bersifat riyak, ujub (hairan kepada diri sendiri) sombong dan lain-lain lagi.
Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isterinya sekiranya ada, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.
Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata seumpama "Beruk punya anak1" maka lahirlah watak beruk pada si anak yang sukar untuk dilentur perangainya.
Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya. Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.
Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah swt. Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan muhramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.
Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan taat pada suaminya dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan, malah sentiasa mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.
Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu untuk mengajar isteri dan anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yang mampu mengajar. Semoga dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.
Ibnu Abbas pernah berkata: :Berilah pengertian agama kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka."
Kebenaran tetap ada walau dalam kesamaran

Formula Berdoa Memohon Jodoh

Bukan setakat memohon untuk dikurniakan jodoh, peranan doa amat luas dan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang. Baik kehidupan di dunia mahu pun kehidupan di akhirat. Dengan merendah diri dan berdoa seseorang akan dapat mengagungkan kekuasaan tuhan dan menyedarai kelemahan diri sendiri. Seterusnya meletakkan satu pengharapan kepada tuhan dalam mencapai cita-cita.

Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186, Allah telah berfirman, “..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. ”

Firman Allah lagi di dalam surah Ghafir ayat 55, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Kedua-dua ayat ini menunjukkan Allah menyuruh semua umat Islam berdoa kepadaNya, seterusnya beriman dengan mematuhi perintahNya. Mereka yang tidak memohon sesuatu daripada Allah dikategorikan sebagai orang yang sombong dan takbur.

Menurut An-Nu’man Bin Basyir, Rasulullah pernah berkata , “Doa itu termasuk ibadah,” lalu beliau membaca ayat 55 dari surah Ghafir seperti di atas.[1] Di dalam riwayat lain, Rasulullah telah bersabda, “Tiada sesuatu pun yang lebih mulia di sisi Allah Azza wa Jalla selain daripada doa.” [2]

Di dalam konteks mencari pasangan hidup, amalan berdoa perlu dimulakan sejak awal. Setelah berniat dengan betul, doa diteruskan secara konsisten sepanjang masa. Mudah-mudahan Allah mempertemukan dengan pasangan hidup yang dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Berikut merupakan antara 9 petua dari Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab yang sempat saya sertakan :

1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.” [3]

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya. [4]

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.” [5]

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.” [6]

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.” [7]

6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan,
Kemudian mengatakan, atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwudhu (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” [8]

7. Ata Bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” [9]

8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” [10]

9. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.” [11]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...