Friday, April 25, 2014

Pantang Larang Dalam Perhubungan Suami Isteri

 Apakah keadaan yang diharamkan jima'?

1-     puasa fardhu

2-    i'tikaf

3-    dalam keadaan ihram – haji atau umrah

4-    haid dan nifas

dan beberapa keadaan lain yang melibatkan iila', zihar dan talaq.

Diharamkan melakukan persetubuhan melalui jalan dubur. Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam berkata : "Sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran, janganlah datangi isteri kamu melalui dubur." (Diriwayatkan oleh al-Nasa'ie, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Kewajipan isteri memenuhi hajat suami

 Isteri wajib mentaati suami kerana hak qawwamah (kepimpinan) yang telah diberi oleh Allah kepada suami seperti yang disebut dalam surah al-Nisa' ayat 34. Tidak ada maknanya hak qawwamah ini jika tidak disertai dengan hak ketaatan. Terdapat beberapa cabang perkara yang perlu diberi  ketaatan oleh isteri; antaranya ketaatan dalam memenuhi hajat suami, ketaatan dalam urusan taharah, ketaatan dalam urusan kebersihan tubuh badan dan perhiasan, ketaatan untuk tetap di rumah, ketaatan untuk memelihara harta suami dan lain-lain lagi dalam semua hal. Walaubagaimana pun, perlu diingatkan di sini, walaupun hak ketaatan itu sangat besar bagi suami namun isteri tidak boleh taat jika suami menyuruh sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah. Dalam sebuah hadis Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam menyebut : "Mendengar dan patuh pada seseorang Muslim itu dalam hal yang dia sukai atau pun yang dibenci adalah selagi mana dia tidak disuruh melakukan maksiat. Jika dia menyuruh sesuatu yang maksiat, maka janganlah dengar dan patuh padanya." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi; beliau berkata : Hadis hasan sahih)

Tulisan akan membincangkan secara khususnya mengenai ketaatan dalam memenuhi hajat suami.

Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam berkata : "Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak." (Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan isnad yang baik. Berkata al-Haithami : Perawi hadis ini adalah perawi al-Sahih kecuali al-Mughirah bin Muslim, beliau adalah thiqah)

Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam berkata lagi : "Jika seorang suami itu memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti." (Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi ; beliau berkata : hadis hasan sahih)

Dalam hadis yang lain pula, Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam berkata : "Demi jiwaku yang ditanganNya, tiada seorang lelaki yang memanggil isterinya untuk bersama, lalu dia menolak, dan suami tidur dalam keadaan marah (tidak redha) maka malaikat akan melaknatnya hingga ke subuh." (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sirah Ummahatul Mukminin radhiyallahu 'anhunna pula, kita dapat lihat dalam sebuah hadis, 'Aisyah radhiyallahu 'anha berkata : "Dari 'Aisyah radhiyallahu 'anha : 'Aku perlu melangsaikan beberapa hari puasa Ramadhan (yang ditinggalkan), dan tidaklah aku mengqadha'nya melainkan dalam bulan Sya'aban (kerana menyediakan diri untuk Rasulullah shallallahu 'alayhi wa sallam)." [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

Lihatlah bagaimana bersungguhnya para isteri Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam dalam menyediakan diri mereka untuk Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam sehingga mereka ini menangguhkan puasa qadha' mereka ke bulan Sya'aban kerana bimbang Baginda shallallahu 'alayhi wa sallam mungkin menghajati diri mereka pada bila-bila waktu. Ini juga menunjukkan ketinggian adab mereka terhadap Baginda shallallahu 'alayhi wa sallam. Beginilah sepatutnya kita para isteri berusaha untuk menyediakan diri untuk para suami dan memasukkan kegembiraan dan keredhaan ke dalam hati mereka pada setiap masa. (Lihat : Sahih al-Bukhari, tahqiq Mustafa al-Bugha, 2/689)
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...