Friday, April 25, 2014

Jima’ : menurut al-Quran dan Sunnah

 Adakah saya terlalu terbuka dalam masalah ini? Perkara ini telah direkodkan oleh para ulama' beratus tahun dahulu. Mereka –rahimahumullah- telah mentafsirkan ayat dan mensyarahkan hadis-hadis Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam yang menyentuh cara berjima' serta the do's and dont's. Mari kita olah semula isu ini dalam bahasa yang mudah untuk kita fahami.

Dalam ayat 223 surah al-Baqarah, Allah menyebut yang maksudnya : "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman."

Isteri itu diumpamakan dengan kebun kerana kebun / ladang / bumi jika ditanam benih padanya, maka akan tumbuhlah pokok / tumbuhan. Begitu jugalah dengan isteri, jika disetubuhi / diberi benih si suami, maka akan terhasillah anak dengan izin Allah [Lihat : Aysar at-Tafaasir, Abu Bakar al-Jazaa-iri, 35]

Dalam ayat ini juga Allah mengajar manusia bagaimana untuk mendatangi isteri. Suami boleh mendatangi isteri dengan apa jua cara yang dia mahu, samada dari hadapan atau belakang tetapi hanya melalui qubul dan bukan dubur. Dari Jabir radhiyallahu 'anhu berkata : Orang Yahudi berkata : Jika seorang suami itu menyetubuhi isterinya dari belakang (melalui qubul), maka anak yang terhasil akan menjadi juling. Maka turunlah ayat : "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.." (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Abdullah bin Saabith datang menemui Hafsah bint AbdirRahman bin Abi Bakr, dia berkata : Aku hendak bertanya satu soalan kepadamu tetapi aku malu. Hafsah berkata : Janganlah engkau malu wahai anak saudaraku. Dia berkata : Bagaimana hukum mendatangi isteri melalui dubur? Hafsah berkata : Ummu Salamah memberitahuku bahawa orang Ansar tidak mendatangi isteri mereka dari belakang. Orang Yahudi mengatakan siapa yang mendatangi isteri mereka dari belakang, anak yang terhasil akan menjadi juling. Apabila kaum Muhajiruun datang ke Madinah dan menikahi wanita-wanita Ansar, mereka mendatangi para isteri dari belakang. Si isteri enggan mentaati suami mereka dan berkata : Janganlah kamu lakukan sebegitu sehingga aku berjumpa Rasulullah shallallahu 'alayhi wa sallam. Wanita tadi berjumpa dengan Ummu Salamah dan mengkhabarkannya mengenai perkara itu. Wanita itu malu untuk bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alayhi wa sallam. Baginda shallallahu 'alayhi wa sallam menyuruh Ummu Salamah memanggil wanita itu dan Baginda shallallahu 'alayhi wa sallam membacakan ayat : " Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai..", dan kata Baginda shallallahu 'alayhi wa sallam : "Asalkan melalui qubul." (Diriwayatkan oleh Ahmad; Syu'aib al-Arna-uth berkata : Isnadnya hasan)

Para wanita Ansar enggan didatangi dari belakang kerana telah terbiasa dengan cara Yahudi yang mana para wanita mereka didatangi dari tepi / sisi, kerana menurut mereka cara ini lebih tertutup bagi isteri. Ini disebut dalam sebuah athar oleh Ibn Umar radhiyallahu 'anhu [lihat : Tafsir Ibn Kathir, 1/273]. Tetapi Islam datang menyatakan bahawa suami boleh mendatangi isteri dengan cara mana pun asalkan melalui qubul (pantang larang lain akan disebut kemudian insha Allah).

Jima' dibolehkan pada bila-bila masa, oleh itu isteri wajib mentaati suami dalam hal ini tidak kira siang atau malam. Tidak ada hari-hari tertentu yang dimakruhkan jima' padanya.
 
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...