Saturday, March 27, 2010

Suami Cerewet- Lihat Dari Sudut POSITIF

Sikap cerewet biasanya dikaitkan dengan wanita. Cerewet bab makan, penampilan mahupun kebersihan adalah paling sinonim dengannya. Malah kerana terlalu cerewet suami sendiripun naik rimas dibuatnya. Tapi jangan sangka sikap cerewet ini hanya
ada pada wanita. Lelaki juga tidak ketinggalan, malah kadang-kala tahap kecerewetan mereka lebih ‘parah’ daripada wanita.




Ada lelaki yang cerewet bab berpakaian, sebagai contoh pakaian mestilah sentiasa kemas, semua pakaian termasuk t-shirt perlu digosok. Tak kurang pula yang cerewet mengalahkan wanita tentang makanan. Tak boleh terlebih masin dan tak boleh terlebih manis, hidangan pula tak boleh sama setiap hari. Kalau tak kena dengan selera mulalah dikomen bermacam-macam hingga naik panas telinga dibuatnya.



Situasi ini mungkin dialami oleh sebahagian isteri di luar sana. Ada yang boleh bersabar dan mengikut saja tapi tak kurang juga yang memberontak sendiri dalam hati. Sekiranya inilah yang anda hadapi setiap hari, di sini disertakan tip terbaik buat anda berhadapan dengan kecerewetan sang suami.



Teliti tahap kecerewetannya



Tidak semua kecerewetan suami adalah perkara yang negatif. Sebagai contoh, apabila suami mengomel tentang urusan memasak tapi bersedia membantu anda di dapur. Maka hal ini mungkin tidak menjadi masalah buat anda.



Tetapi sekiranya suami asyik memberi komen tentang masakan anda tidak enak dan tidak kena dengan selera namum tidak pula mahu membantu, sudah pasti anda akan terasa hati. Sebagai isteri, komentar sebegini akan membuatkan anda merasa bahawa anda bukanlah isteri yang baik untuk suami anda.



Anda perlu tenang dan bijak dalam menghadapi sikap suami yang sebegini. Apapun bentuk kecerewetan pasangan, anda telah memilih dan menjadikannya pasangan hidup. Sekiranya sikap cerewet suami anda itu masih dalam tahap normal dan masih boleh anda tangani, maka tidak perlulah dibesarkan. Hadapi saja dengan sikap positif dan hati yang terbuka. Namum jika suami cerewet mula mengomel sesuatu yang pada akhirnya mengganggu kehidupan dan perasaan anda, maka situasi ini perlu dibincangkan sebaik-baiknya melalui jalaan perundingan. Cari jalan penyelesaiannya dengan cara meluahkan kepada suami bahawa anda hanyalah manusia yang tidak lepas dari kesalahan dan kekurangan. Sebagai pasangan, dia perlulah menerima segala kelebihan serta kekurangan anda.



Renungkan kata-kata suami



Sikap cerewet suami yang kadang-kala tentang hal remeh-temeh memang sesuatu yang menyebalkan tapi mahu tak mahu harus anda hadapi. Namun sekiranya anda sudah tidak tertahan menghadapinya dan sakit hati, cubalah untuk berdiam diri seketika dan renungkanlah kata-kata atau komen suami anda.



Mungkin disebalik komentarnya ada aspek positif yang cukup berguna buat anda. Cuma mungkin cara penyampaiannya saja yang kurang halus hingga mebuatkan anda menganggapnya terlalu cerewet.



Selain itu, anda mungkin juga boleh memandang bahawa komen suami itu perlu juga untuk mengingatkan anda terhadap hal-hal yang mungkin anda terlupa. Dalam pada itu, cubalah anda renungkan bahawa seburuk mana pun komen pasangan anda, percayalah bahawa dia sebenarnya tidak bermaksud menyakiti hati anda. Mungkin kadang-kadang anda tidak dapat terima dengan semua komennya.



Jika memang ada sikap cerewet suami yang menyakitkan dan dikomen dengan cara kasar, jelaskan bahawa anda tidak dpat menerima jika diperlakukan sebegitu. Tapi pastikan anda meluahkan perkara tersebut dengan cara yang tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan emosi.



Kesan jika terlalu cerewet



Sekali-sekala suami bersikap cerewet mungkin boleh diterima tapi jangan lakukannya terus-menerus atau membabi buta. Ia akan menimbulkan kesan psikologi yang berat buat pasangan.



Isteri terutamanya yang tidak pandai meluahkan perasaan pasti akan makan hati dengan sikap suami begini. Sikap suami cerewet yang asyik dipendamkan dalam hati akan meletup jua, suatu hari nanti. Namun kesannya suami cerewet bukan hanya setakat itu saja, ia juga akan meberi kesan pada aspek lain dalam diri isteri seperti:



1. Hilang nafsu seks : Akibat terlalu sering dikomen, isteri mungkin akan berasa rendah diri hingga menjejaskan hasrat untuk bersama dengan suami di ranjang. Isteri akan hilang ghairah kerana berasa tidak setaraf dengan pasangannya.



2. Tertekan : Kata-kata suami yang merendahkan, sedikit sebanyak akan membuatkan isteri berasa tertekan. Seolah-olah segala apa yang dibuat serba tidak kena di mata suami. Isteri juga akan berasa keliru dan kesal.



3. Hilang keyakinan diri : Perasaan rendah diri sekali gus akan menyebabkan tahap keyakinan diri seseorang mula menghilang. Pasangan yang merasa terus-menerus dipersalahkan, dalam tahap yang lebih ekstrem dia akan merasa rendah diri. Tidak hanya di hadapan pasangannya, tapi juga dengan orang lain di persekitarannya.



4. Cemas dan takut : Sikap cerewet suami juga boleh menyebabkan isteri berasa takut-takut dan tidak tenteram. Sebagai contoh, jika suami cerewet bab kebersihan rumah, isteri mungkin akan berasa cemas tatkala suami berada di rumah. Cercaan, cemuhan dan omelan daripada pasangan seolah-olah nasib yang harus diterimanya.

2 comments:

iidyLL iceneSS said...

Pernah jmp lecturer yg cerewet begini..
tulis hand writing wlupun 1 huruf pun xboley..

lewat 5 saat pun dh kne aim smpi hbs sem..huhuhu

mimi said...

uiks..sabar sabar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...