Monday, April 22, 2013

JODOH ITU

"Jodoh itu ketentuan Allah."

"Walau macam mana pun kita setia atau sayang seseorang, tapi kalau dah bukan jodoh memang tak dapat juga."

Begitulah di antara kata-kata yang sering dilontarkan oleh seseorang individu sama ada dia berniat untuk menenangkan hati sahabatnya yang sedang berperang mengejar cinta dan jodohnya atau dia mungkin juga berniat sekadar memperlekehkan usaha sahabatnya.

Kenyataan itu pada hakikatnya memang betul! Jodoh itu memang rahsia dan ketentuan Allah. Tiada siapa yang lahir di dunia ini sudah mengetahui jodohnya dari awal lagi. Tetapi di mana yang salahnya? Yang salahnya adalah sesetengah orang yang salah memahami kenyataan tersebut.

Jodoh itu memang urusan dan rahsia Allah. Ini sekaligus membuktikan bahawa Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Bahkan Allah juga menjelaskan di dalam firman-Nya bahawa makhluk ciptaan-Nya tidak mungkin dapat mengetahui ilmu Allah melainkan apa yang diizinkanNya:

يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ 
Maksudnya: "...Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya..."
(Surah al-Baqarah 2:255)

Di dalam firman-Nya yang lain:

إِنَّ ٱللَّهَ عَـٰلِمُ غَيۡبِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ إِنَّهُ ۥ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati."
(Surah Faatir 35:38)

Akan tetapi apa yang saya maksudkan dengan kegagalan memahami kenyataan yang disebutkan tadi? Kegagalan memahami itu terjadi kerana tidak memahami sunnatullah atau aturan-aturan atau hukum-hakam alam yang telah Allah aturkan di alam semesta ini. Di sinilah peranan usaha ke arah mencapai kejayaan apa yang dihajatkan.

Allah telah menetapkan sunnatullah, jika kita menanam biji benih jagung, maka yang akan tumbuh nanti adalah pokok jagung. Inilah aturan alam yang telah Allah tetapkan. Sama halnya dengan jodoh, jika seseorang mengusahakan untuk berkahwin dengan si gadis A, mana mungkin tiba-tiba esok yang dikahwininya adalah gadis yang entah dari mana datangnya. Memang benar tidak semestinya orang itu dapat kahwin dengan si gadis A, kerana mungkin ada faktor yang menghalang, akan tetapi memang mustahil jika dia dikahwinkan dengan orang yang tidak pernah dia atau sesiapa usahakan untuknya.

Ada orang yang cuba melemahkan semangat seseorang yang sedang berperang untuk mendapatkan jodoh yang dicintainya. Dia berkata: "Kau usaha macam manapun tak guna, jodoh ketentuan Allah." Orang ini sebenarnya tidak faham. Mana mungkin bangun dari tidur, pandang ke tepi sudah ada jodoh di sebelah. Kita perlu usahakan dan jangan pertikaikan sejauh mana seseorang itu hendak berusaha mendapatkan apa yang dicitanya. Kenapa kita perlu usaha? Jawapannya berbalik kepada kenyataan awal tadi, kerana jodoh itu rahsia Allah, maka tiada siapa yang tahu siapa jodohnya, kerana itulah kita mesti usaha!

Yang lebih memalukan sebenarnya adalah orang yang mudah lemah semangat dan tidak berjuang untuk mendapatkan sesuatu yang ingin dimilikinya. Lantas dia dengan mudah menuding kepada takdir! Dia berkata: "Tak apalah, dia bukan ditakdirkan untuk aku." Sedangkan dia sendiri yang enggan berperang untuk mendapatkan apa yang dihajatinya.

Pandanglah ke sekeliling kita. Kebanyakan sahabat atau saudara kita yang sudah berkahwin rata-rata dijodohkan dengan pilihan masing-masing. Allah tidak kejam dan zalim. Itu yang mereka usahakan, insyaAllah memang Allah bagi. Cuma mungkin 1 daripada 10,000 atau 1 daripada 1,000,000 kes yang mana seseorang itu dijodohkan dengan orang yang tidak pernah dia impikan. Mungkin di atas faktor tertentu yang kita tidak ketahui. Walau bagaimanapun, ketahuilah, ia masih pilihan yang kita mampu pilih. Mengapa? Kerana di dalam hadis Nabi SAW ada dinyatakan baginda membubarkan perkahwinan yang mana perempuan yang dinikahkan itu tidak redha dengan pasangannya.

"Dari Khansa bin Khidam bahawa ia dikahwinkan oleh ayahnya setelah ia janda, maka ia datang kepada Rasulullah SAW mengadukan perkaranya. Maka beliau SAW membatalkan perkahwinannya itu."
(Diriwayatkan oleh Bukhari)

Hadith lain disebutkan:

"Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang gadis datang kepada Rasulullah SAW lalu ia menceritakan kepada beliau SAW tentang ayahnya yang mengahwinkannya dengan lelaki yang dia tidak suka. Maka Rasulullah menyuruh dia untuk memilih (menerima atau menolak)."
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud , Ibnu Majah dan Daruquthni)

Allah memberikan hak dan pilihan kepada hamba-Nya. Maka apakah Allah kejam dan zalim? Atau kita yang tidak memahami apa yang disampaikan oleh kenyataan awal itu tadi?

Berusahalah ke arah apa yang dihajati. Berusahalah kerana kita tidak mengetahui apa yang telah ditentukan untuk diri kita ini. Susulilah dengan doa dan serahkan segala keputusan kepada Allah SWT.

Wallahu a’lam.

4 comments:

TiranaAduka said...
This comment has been removed by the author.
TiranaAduka said...

terima kasih atas kunjungan kak mimi.tq

TiranaAduka said...

jemput singah tempat ta.

TiranaAduka said...

salam..
Syawal ke8 di sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...