Tuesday, May 22, 2012

Cinta songsang

Ini bukan kisah golongan pondan, bukan golongan yang bergaul bebas dan hidup bergelumang dosa. Mereka adalah remaja yang baik, pada akhlak dan ibadah… namun dibelenggu dosa perasaan yang tersembunyi.

Bagi remaja yang telah kalah dengan perasaan itu, dan terjebak dengan perbuatan keji di sisi agama, saya tidak dapat berkata apa-apa… hanya kepada Allah jua saya pohonkan agar mereka ini bertemu cahaya di hujung jalan songsang yang mereka susuri itu. Namun yang ingin saya bincangkan di sini, adalah remaja yang baik, yang bersih, tetapi terperangkap dalam dunia yang cukup misteri ini… sebagai mangsa keadaan.

Mengapa saya katakan demikian? Hasil perkongsian cerita… boleh dikatakan setiap seorang dari lelaki pencinta lelaki ini, pernah menempuh pengalaman hidup yang hitam.

LATAR BELAKANG YANG MENJADI BEBAN HIDUP

Ada di antara mereka menjadi mangsa kecenderungan ibu bapa, yang menginginkan anak perempuan sehingga beliau dilayan seperti imaginasi si ibu dan bapa, lantas naluri yang dibentuk menjadi songsang, atas kesilapan ibu bapa. Mereka yang dari kumpulan ini, lazimnya turut berpewatakan lembut kesan persekitaran yang disentuh ke atas mereka.

Manakala sebahagian yang lain pula, pernah menjadi mangsa kepada perlakuan songsang pada usia awal remaja, dicemar oleh nafsu rakus mana-mana lelaki yang ada di sekeliling mereka… hingga akhirnya kanak-kanak ini membesar dengan membawa catatan hitam itu kepada sebuah dunia keremajaan dan kedewasaan yang mengelirukan.

Beberapa individu yang saya temui dari kumpulan kedua ini, mempunyai penampilan yang sempurna sebagai seorang lelaki, namun mereka menanggung kejanggalan naluri sebagai rahsia yang memakan diri.

Sukar untuk saya membantu, kerana kecelaruan ini bukan kecelaruan ilmu. Ia juga bukan kecelaruan emosi, tetapi kecelaruan identiti. Identiti adalah suatu rangkuman dimensi dalaman manusia yang terbentuk hasil dari pelbagai aspek kehidupan. Mengungkaikannya memerlukan kekuatan semangat dan kembali berbaik sangka kepada Allah terhadap potensi diri untuk pulih… dari satu peringkat ke satu peringkat.


1 comment:

Penyuluh Perikanan said...

sangat bermanfaat, dan perlu disosialisasikan ..
terima kasih

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...