Tuesday, May 19, 2015

Kecewa

Demikian luahan pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng yang mempersiapkan diri untuk beraksi di Siri Super Terbuka Australia 2015 minggu depan.


Menurut pemain kelahiran Sungai Petani itu, walaupun masih ada sedikit perasaan kecewa kerana tidak dipilih menyertai Kejohanan Dunia 2015 Jakarta, dia harus memikirkan cara untuk melupakan insiden itu.
"Caranya adalah dengan betul-betul fokus terhadap Terbuka Australia. Paling penting buat saya sekarang melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio," katanya di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.


Wei Feng berkata, semalam dia ada berjumpa dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen untuk berbincang mengenai jumlah kejohanan yang perlu ditambah bagi membolehkan dia melayakkan diri ke Olimpik tahun depan.
"Tapi, kami tidak berbincang mengenai Kejohanan Dunia kerana keputusan sudah dibuat. Ia lebih kepada kejohanan lain yang bakal saya sertai dengan jumlahnya mungkin ditambah," katanya yang sebelum ini diketepikan daripada menyertai Kejohanan Dunia walaupun layak secara merit selaku pemain perseorangan nombor satu negara.


Ditanya mengenai sasarannya di Terbuka Australia, Wei Feng berharap dapat melayakkan diri ke undian utama selepas terpaksa bermula di pusingan kelayakan.
"Saya rasa peluang ke pusingan pertama tetap ada, kerana perlawanan pertama saya akan berjumpa perseorangan Jepun, Riichi Takeshita dan selepas itu mungkin berdepan wakil Hong Kong, Ng Ka Long Angus," katanya.
Selepas beraksi di Terbuka Australia, Wei Feng akan menyertai skuad badminton negara mengambil bahagian di Sukan SEA 2015 Singapura bulan depan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...